Mandian Herba

Semasa berpantang, sebaik-baiknya ibu yang selepas bersalin hendaklah mandi menggunakan air panas (air suam) ketika mandi waktu pagi dan mandi waktu petang supaya badan sentiasa segar.

Mandian terbaik adalah menggunakan air rebusan dedaun.

Mandian rempah dan mandian herba juga baik untuk ibu selepas bersalin.

Air rebusan daun berfungsi untuk mengeluarkan angin di badan, mengharumkan bau badan di samping menyegarkan badan.

Bagi ibu yang bersalin secara pembedahan, pastikan air tidak terkena pada luka jahitan.

KHASIAT MANDIAN HERBA

Memanaskan badan
Membuang angin dalam badan
Menyihatkan tubuh badan
Menghilangkan bau hanyir badan
Melancarkan perjalanan darah
Mengurangkan keputihan
Menghilangkan rasa letih dan lesu
Menghilangkan lenguh-lenguh dan bisa badan

DAUN YANG DIGUNAKAN DALAM MANDIAN DALAM BERPANTANG

Daun serai wangi
Daun mengkudu
Daun limau purut
Daun jambu batu
Daun tetulang
Daun lengkuas
Daun kunyit
Daun lemuni
Daun pandan
Daun sirih
Asam keping
Rempah halba

PENYEDIAAN AIR MANDIAN HERBA

Sediakan bahan-bahan dan bersihkan terlebih dahulu.

Jerangkan air bersama dedaun di dalam periuk di atas dapur dengan api sederhana.

Boleh masukkan rempah halba dan asam keping jika mahu.

Sesudah air panas, masukkan dalam baldi, campurkan dengan air sejuk dan pastikan suhu air adalah suam-suam panas untuk mandi.

Mulakan mandian dengan kaki kiri ke bahu kiri diikuti dengan kaki kanan hingga ke bahu kanan.

Sambil itu, gosokkan badan dengan limau purut atau limau nipis yang sudah dipotong untuk menyegarkan badan.